26.5.09

Tamil Eelam : Obsesi Terhadap Jin?

Menurut Profesor S. Ramwella dalam tulisannya di web Info Lanka tuntutan negara Tamil Eelam adalah tidak berasas sama sekali. Beliau menegaskan seluruh perjalanan sejarah Jaffna dari zaman Buddha hingga abad ke 18, tidak menunjukkan bukti wujudnya Kerajaan Tamil Tua di Jaffna.

Kisahnya lebih kurang begini. Nagadipa atau Naka-diva adalah nama purba bagi semenanjung Jaffna. Ia tertulis dalan transkrip Pali berkait lawatan kedua Buddha ke Sri Lanka 600 tahun sebelum Masehi. Dikatakan Buddha mententeramkan perbalahan raja Naga merebut kuasa. Inilah kononnya apa yang dilihat sejarawan Tamil tentang kerajaan tua mereka yang hakikatnya adalah pergaduhan dua ekor jin.

Dalam Mahavamsa, atau Pali purba, akar kesusasteraan Sanskrit dan Tamil dua Naga ini tidak pernah disifatkan sebagai manusia tetapi dalam bentuk supernatural yang menguasai bawah laut yang boleh menyerupai apa-apa.
(Jika mengikut akidah Islam, sudah tentu ianya dari bangsa jin)

Jika wujud Kerajaan Tamil yang jika tidak gah pun, sekadar sebuah negara merdeka di sekitar semenanjung Jaffna, sekurang-kurangnya beberapa inskripsi Tamil dari raja-raja yang memerintah sudah tentu ditemui tetapi tidak satu pun yang ditemui kecuali inskripsi Tamil yang ditemui tetapi ditulis oleh raja keturunan Sinhala, Parakramabahu (1153-1186).

Beberapa lagi inkripsi milik raja-raja Sinhala banyak ditemui di daerah Jaffna seperti inskripsi Sanskrit Tiriyaya milik Aggabodhi VI (733-772), rukun Tiruketisvaram milik Sena II(853-887), rukun Mannar Kacceri milik Kassapa IV (898-914), batu bersurat abad kesepuluh milik Abhasalamevan, batu bersurat milik Vijayabahu (1055-1110) dan takhta batu bersurat milik Nissankamalla (1187-1196).

Kecuali Kerajaan Jaffna yang diperintah Aryacakravarti (Tamil: யாழ்ப்பாண அரசு) (1215-1619) yang disebut Ibnu Batutta sebagai Sultan Ceylon, raja berpengaruh Islam itu dikatakan berasal dari Kalinga. Kerajaan ini runtuh dilanggar Portugis.

Penempatan Sinhala di Jaffna wujud melalui bukti sejarah sejak awal pemerintahan raja-raja Sinhala sehingga selepas tamatnya pemerintahan Nayakkar yang memerintah kerajaan Kandy pada tahun 1815, warisnya terus memerintah Kandy yang mana Jaffna telah lama terletak dibawah pemerintahannya.

3.5.09

Pro-PR Dalam PAS Kegusaran

Penjelasan Nik Abduh Nik Aziz mengenai "salah pembawakan" para "penasihat bapanya" merupakan rahmat Allah. Di saat semakin ramai yang bingung dengan perjuangan PAS, Nik Abduh datang membawa jawapan.

Beliau mengenepikan kesan yang bakal dihadapi bagi menyatakan sesuatu yang seharusnya di bawa ke pengetahuan umum. Ini termasuklah 'lembaga disiplin' PAS yang mula hendak diperkasakan peranannya.

Pihak yang mahu berlaku penyatuan dan mahukan negara dipimpin dengan sebuah 'Majlis Permuafakatan' sedar akan kepentingan untuk Islam bersatu. Tetapi, ianya hanya terjadi seandainya tidak akan ada pengaruh DAP dan PKR ke atas PAS lagi dalam PAS membuat keputusan.

Penyatuan itu dilihat menguntungkan kerana keterbukaan hati UMNO untuk 'diganggu' oleh PAS dan dipantau oleh 'bukan UMNO' membolehkan PAS mendapat satu bentuk sokongan yang penting untuk reputasi parti itu sendiri di masa depan.

Malangnya, puak pro-Anwar yang tebal mahu tumbangkan sebuah kerajaan pimpinan orang Islam demi tertegaknya sebuah pakatan sosialis memburukkan lagi halatuju PAS.

Nik Abduh mahu mengemudi PAS ke tepi dan berbincang mengenai halatuju. Walaupun ada pihak dalam PAS yang ringan mulut untuk mencerca Nik Abduh, beliau berani mempertahankan tindakannya.

Penentang pro-PR dalam PAS perlu menunjukkan mandat untuk mengalih haluan PAS yang telah ibarat 'kelok hanyut ke segitiga bermuda'.

Seperti mana Anwar menjadi inspirasi perebut jawatan dalam UMNO, Anwar juga akan menjadi inspirasi puak Erdogan dalam PAS pada pemilihan kali ini.

Serangan wang pasti akan berlaku.

1.5.09

H1N1 : Babi Terselamat Lagi!

Selsema Babi tidak lagi digunapakai bagi menggambarkan virus selsema H1N1 di negara ini serentak dengan kehendak dunia dan kehendak penternak babi dan pemakan babi di negara ini.

Ini bertujuan bagi menyeragamkan pemakaian H1N1 ke atas virus tersebut di negara ini dan juga dunia. Seperti H5N1 yang digunakan pada selsema burung, selsema babi tidak mungkin hilang dari sebutan masa depan bagi menggambarkan H1N1.

Istilah ini telah digunapakai sejak dulu apabila Spanish Flu yang melanda dunia pada 1918 dikaitkan dengan babi.

Letusan wabak serupa di Mexico baru-baru ini membuatkan nama babi menjadi glamour lagi setelah isu di Selangor dan Kedah genap setahun berlalu.

Tetapi kali ini, babi disensitifkan atas usaha menang-menang bagi pihak Melaiu yang sensitif dengan babi kerana ia merupakan perkataan mencarut paling umum, juga kepada masyarakat Cina yang tidak suka stigma selsema menghantui hidangan harian mereka.

Jadi, wajarlah H1N1 digunapakai sebagai istilah menggantikan selsema babi.

Punca KL Sesak Semalam

Semalam, saya pulang dari pejabat di Putrajaya melalui MRR2 yang cukup sesak walaupun jam menunjukkan 9.20 malam. Memang menjadi kehairanan kepada ramai orang akan kesesakan ini.

Akhbar Utusan Malaysia menyebut bahawa DBKL juga tidak tahu punca kesesakan ini berlaku. Cukup melucukan apabila DBKL yang dilengkapi sistem ITIS tidak dapat mengesan punca kesesakan.

Sudah tentulah ITS tidak dapat mengesan punca kesesakan kerana punca kesesakan itu datang dari hati sanubari pemilik kenderaan yang memadatkan trafik di KL semalam! Hatta menggunakan satelit sekalipun, tiada jawapan akan diperoleh dari punca kesesakan tersebut.

Bagi penghuni kota yang kerap menggunakan jalanraya di KL, punca kesesakan semalam cukup mudah. Hari terakhir bekerja sebelum cuti panjang 3 hari, sudah tentulah warga kota membawa kereta masing masing dan kadar penggunaan motorsikal di MRR2 semalam sangat-sangat rendah.

Ini adalah kerana, kebanyakan warga kota mahu pulang ke kampung halaman selepas waktu pejabat dan momokan tentang keadaan trafik yang teruk membuatkan sebilangannya menanti malam.

Tetapi apabila sudah malam, mereka-mereka ini menambah lagi kesesakan jalanraya apabila keluarnya mereka dengan serentak menuju destinasi masing-masing.

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online